Menu

Dari Meja Pengarah

Sektor

Takwim

FAQ (Soalan Lazim)

FUNGSI AKTIVITI KOKURIKULUM

 

Aktiviti kokurikulum mempunyai fungsi-fungsi yang tertentu. Antaranya ialah:

 

1.1        Pengukuhan dan Pengayaan

           

Pengetahuan yang diperoleh daripada mata pelajaran akademik dapat diperkukuhkan dan  diamalkan melalui aktiviti kokurikulum.     Aktiviti ini juga dapat memberi peluang kepada murid-murid mamahami konsep latihan dalam bidang tertentu dengan menggunakan pengetahuan tersebut dalam konteks yang lebih bermakna dan realistik. Di samping itu, cara begini juga dapat memberi pengalaman yang mungkin tidak terdapat di dalam bilik darjah.

 

Segala aktiviti kokurikulum hendaklah dirancang terlebih dahulu supaya selaras dan saling melengkapi dengan apa yang diajar di bilik darjah. Ini boleh membantu murid-murid meningkatkan lagi prestasi mereka dalam pelajaran.

 

Berikut adalah beberapa contoh aktiviti kokurikulum yang berfungsi bagi pengukuhan dan pengayaan:

           

1.1.1     Aktiviti Pergerakan Pasukan Pakaian Seragam:

                       

                              Pertolongan Cemas:

 

Aktiviti ini dapat memberi peluang kepada murid mencuba pengetahuan/ pengalaman tentang cara-cara memberi rawatan kecemasan serta menggunakan pengetahuan yang dipelajari dalam mata pelajaran sains.

 

Perkhemahan:

 

Aktiviti ini antara lain dapat memberi peluang kepada murid menggunakan pengetahuan membaca peta (geografi), di samping dapat memberi pengetahuan dan pengalaman kepada murid tentang cara hidup berdikari, semangat kembara, berani dan berikhtiar.

 

                                    Kawat Kaki:

 

Aktiviti ini dapat mengujudkan disiplin dalam pasukan, semangat berkerjasama, menurut perintah serta melatih kepimpinan.

 

                        1.1.2     Aktiviti Persatuan / Kelab:

 

Berikut adalah beberapa contoh aktiviti kokurikulum yang berfungsi bagi pengukuhan dan pengayaan:

 

Kuiz:

 

Aktiviti ini antara lain dapat memberi peluang kepada murid-murid menambah pengetahuan dalam mata pelajaran yang berkaitan.

 

Bahas dan Pidato:

 

Aktiviti ini antara lain memberi peluang kepada murid-murid menggunakan kemahiran bahasa dalam memberi dan mematahkan hujah dengan menggunakan fakta.

 

Projek Membuat Kincir Air:

 

Aktiviti ini antara lain dapat memberi peluang kepada murid-murid menggunakan pengetahuan mereka dalam matematik, fizik dan geografi, di samping dapat meningkatkan daya kreativiti dan kemahiran hidup.

 

                        1.1.3     Aktiviti Sukan / Permainan:

 

                        Olahraga:

 

Aktiviti ini dapat memberi pengetahuan kepada murid-murid tentang ilmu anatomi, iaitu berkenaan sistem otot dan pembinaan otot yang kuat.   Ini bukan sahaja dapat memperkukuhkan pelajaran mengenai biologi tetapi murid juga akan dapat memahami konsep latihan dalam sukan dan menggunakan pengetahuan yang ada dalam latihan itu.

 

Bola Sepak:

 

Aktiviti ini dapat menimbulkan semangat berpasukan, persefahaman, bekerjasama, ketabahan, ketangkasan, berdisiplin, ketahanan diri dan ketepatan membuat keputusan.   Ia memberi peluang kepada murid-murid memperkukuhkan dan memperkayakan pendidikan jasmani, nilai agama dan moral, sivik dan lain-lain.

 

1.2        Khidmat Masyarakat

 

Murid, guru dan kakitangan sekolah boleh memberi khidmat kepada masyarakat dan begitulah sebaliknya.   Tujuannya adalah untuk memupuk hubungan dua hala antara sekolah dan masyarakat serta menyemai semangat berkhidmat, bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain.

 

1.2.1       Sumbangan Sekolah Kepada Masyarakat:

 

Sekolah dapat menggunakan aktiviti kokurikulum sebagai satu sumber bagi murid-murid mempraktikkan dan mengukuhkan segala pengetahuan yang diperolehi kepada masyarakat.  Contohnya, melalui aktiviti Persatuan Bulan Sabit Merah, murid dapat pendedahan serba sedikit ilmu kesihatan dan cara-cara rawatan asas kepada masyarakat setempat.   Di samping itu, banyak lagi aktiviti khidmat masyarakat yang dapat menimbulkan suasana hubungan dua hala seperti bergotong-royong, membersihkan masjid/surau, kawasan perumahan/bandar, mengadakan minggu kerja, ceramah, bimbingan dan latihan tertentu.

 

                        1.2.2     Sumbangan Masyarakat Kepada Sekolah

 

Masyarakat boleh memberi sumbangan dengan cara membantu sekolah dalam bentuk  material , tenaga, usaha , buah fikiran dan kepakaran.

 

Antaranya ialah :

 

a.             Mengutip derma dan mendapatkan kemudahan-kemudahan tertentu bagi melengkapkan peralatan kokurikulum sekolah seperti peralatan sukan, pakaian, komputer dan lain-lain;

 

b.            Memberi ceramah, tunjuk ajar tentang perkara-perkara seperti dalam bidang kerjaya, bimbingan dan latihan dalam kemahiran tertentu, seperti menganyam, membuat tembikar, menjahit, menekat, silat, mengukir, membuat alat-alat permainan tradisi dan sebagainya;

 

c.             Memberi bantuan kepada murid;

 

d.            Mengadakan projek anak angkat;

 

e.             Mengadakan rumah terbuka pada hari-hari perayaan khusus untuk murid-murid daripada pelbagai kaum;

 

f.             Membantu sekolah dalam pengelolaan sukan, bergotong-royong, membersih dan mengindahkan sekolah.

 

1.3        Hobi dan Rekreasi

 

Dengan melibatkan diri dalam  aktiviti kokurikulum, murid dapat memperolehi pengetahuan dan kemahiran, di samping dapat mengisi masa lapang mereka dengan berfaedah serta membina kesihatan fizikal dan mental.

 

Aktiviti ini juga dapat memberi keseronokan kepada murid.   Antara contoh aktiviti ialah membaca, bersukan, berternak, berkebun, menanam bunga, menghias/menggubah, menyanyi, bermain alat-alat muzik, menulis sajak/ cerpen/syair/rencana, melukis kartun, mengumpul setem/daun-daun kayu/ keratan akhbar, membuat model, mengukir dan memancing.

 

1.4        Kerjaya

 

            Aktiviti kokurikulum dapat memberi asas kerjaya kepada murid.   Ia juga dapat membantu dan melengkapi pengajaran dan pembelajaran serta dapat menimbulkan kesedaran dan penyediaan pemilihan kerjaya murid.   Pengetahuan dan kemahiran ini sangat berguna apabila mereka memasuki dunia pekerjaan kelak.  Aktiviti ini boleh dijalankan secara kumpulan atau individu dan tidak hanya terbatas kepada kemudahan dan peralatan atau kepakaran yang ada di sekolah itu sahaja.  Sekolah yang mempunyai masalah ini bolehlah berusaha mendapatkannya daripada sekolah lain atau masyarakat setempat.

 

                        1.4.1     Contoh aktiviti yang berkaitan dengan mata pelajaran

 

                        Kemahiran Hidup           : seni bina, pertukangan, membaiki radio dan TV,

                                                               mekanik, kimpalan dan lain-lain.

    

                                    Sains Pertanian : berkebun, berternak dan lain-lain.

 

                        Ekonomi Rumah            : gubahan, jahitan, memasak, perhiasan dan lain-

                        Tangga                            lain.

                                               

                        Seni Lukis                     : seni lukis,      tenunan,      kraftangan,     seni ukir, 

                                                              anyaman,    membuat    gasing,   wau,    tembikar,  

                                                              papan    congkak,  sangkar  burung,  tudung  saji dan lain-lain.

      

            Aktiviti seperti ini juga dapat meningkatkan daya kreatif dan pengetahuan murid terhadap aktiviti yang dijalankan oleh institusi luar sekolah dalam bidang-bidang tertentu, di samping dapat menarik minat mereka terhadap aktiviti kokurikulum.  Dalam hal ini, pihak sekolah haruslah sentiasa berusaha mengadakan aktiviti yang baru dan lebih menarik.

    

 1.4.2 Contoh aktiviti yang berkaitan dengan pandangan dan pengetahuan bidang kerjaya:

    

            Ceramah, pameran, kajian atau lawatan tentang jenis dan pekerjaan yang terdapat dalam perkhidmatan separa kerajaan, swasta dan perseorangan.   Ini termasuklah bidang pekerjaan seperti pasukan polis, tentera ,bomba, pentadbiran, perusahaan, perkilangan, perniagaan, dan lain-lain perkhidmatan sosial dan profesional.

 

            1.5        Perkembangan Diri Individu

Semua aktiviti kokurikulum dapat memberi peluang kepada murid melatih diri sendiri untuk kesihatan diri, berdisiplin, memupuk minat dan bakat serta membina semangat untuk menghayati nilai perpaduan dan kewarganegaraan.

 

            1.5.1     Kesihatan

Aktiviti kokurikulum dapat digunakan untuk melatih murid membiasakan penjagaan kebersihan diri, antaranya melalui aktiviti berikut:

 

i.              Pasukan Pakaian Seragam yang mementingkan pakaian dan perawakan yang kemas dan teratur;

 

ii.             Pertolongan cemas  yang mementingkan kebersihan dan langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan kemalangan:

 

iii.            Latihan sukan yang mementingkan kesihatan:

 

iv.            Kerja-kerja amal dan ibadah.

 

1.5.2     Peningkatan Disiplin

Aktiviti kokurikulum  dapat  meningkatkan  dan   memperkukuhkan disiplin murid ke arah pembinaan sahsiah yang bersepadu.

 

Printer Friendly Page Send this Story to a Friend